Tuesday, July 19, 2011

Mesir: Bagaimana Malaysia?

Salam Palestin, saat saya menggerakkan anak –anak jari untuk memulakan penulisan ini, saya tahu saya sedang berkongsi dengan seluruh dunia untuk melihat satu hukum karma yang maha pasti itu berlaku di bumi Mesir. Hukum karma pemiliknya adalah Allah. Kerana itu setiap muslim tidak betah menyebutnya, bahkan menamakannya sebagai sunnah Allah di muka bumi. Sunnah Allah bererti ketentuan dan hukum yang tetap daripada-Nya. Antara sunnah Allah yang mudah difahami dan dilihat ialah hukum penggantian atau silih berganti diantara dua yang berlawanan. Baik berganti buruk dan sebaliknya. Zalim berganti adil dan sebaliknya. Mulia berganti hina dan sebaliknya. Penggantian ini tidak berganti sendiri atau semudahnya. Ia mesti memuncak dan klimaks. Tali apabila sudah memuncak tegangannya, ia pun putus. Maka berlakulah penggantian, kental berganti kendur, gagah berganti lembik. Tiada malam yang kental kecuali kemuncaknya adalah fajar nan menyinsing. Tiada panas yang memuncakkan teriknya kecuali bumi berpusing pantas ke sebelah timur meninggalkan matahari menggelongsor ke hujung barat. Begitulah Allah memudahkan kita memahami sifir-Nya itu.

Presiden Hosni Mubarak sedang cuba berhelah dengan sunnah ini. Sunnah Allag adalah keruntuhan dan kehinaan atas setiap penzalim dan thagut di bumi-Nya. Firaun telah terhumban lemas di laut merah. Bani Israel kembali ke tangan keadilan Nabi Musa Alaihissalam. Semalam Hosni Mubarak, ketika rakyat menyerunya keluar dari Mesir di awal perhimpunan, dia melawan dan berusaha untuk tidak terbang melintasi Laut Merah ke Jeddah atau Dubai. Nah, hari ini rakyatnya meminta lebih daripada itu. Hosni Mubarak untuk diadili, bukan unutk dihalau lagi. Kini, patungnya diangkat ke Medan Tahrir ke tali gantung. Maut untuk penzalim dan thagut!

Kata seorang penyair agung Tunisia: “satu hari, apabila rakyat mahukan kehidupan (perubahan), maka pasti al-Qadar (ketentuan Tuhan) akan menjawab!” maka selepas puluhan tahun, al-Qadar menjelmakan dirinya, menyambut rakyat Tunisia yang bangkit menuntut kehidupan daripada hangus nyawa putus asa seorang anak mudanya yang dibakar kezaliman Ben Ali yang menjarah di bumi Tuhan.

Kezaliman memuncak, kesabaran juga memuncak. Ia kini di medan pertembungan. Adakah anda menyangka kesabaran hujungnya adalah kehancuran? Tidak dan tidak! Apapun kesudahan di Mesir itu, Hosni Mubarak sudah pun di gerbang neraka ciptaan rakyatnya sendiri. Oh, segala sanjungan berdekad dalam sekelip mata bertukar menjadi rentungan mendekap.

MALAYSIA APA KHABAR? Negara yang pernah bandarayanya dilimpahi puluhan ribu rakyatnya yang berbaju kuning bertulis ‘BERSIH’ menuntut keadilan di dalam perlaksanaan pilihan raya yang dipenuhi penipuan dan penyelewengan. Dan mereka bagaikan anjing kurap seringkali dihalau denhan simbahan air asid daripada melawan kezaliman dan penipuan.

MALAYSIA APA KHABAR? Negara yang tidak pernah diam dan tenang daripada pembongkaran rasuah kolar putih besar-besaran, tetapi bilislah yang ditangkap secara kecil-kecilan pula. Kemudian mereka yang bersih dan mulia dituduh pula dengan rasuah dan kejahatan.

MALAYSIA APA KHABAR? Negara yang kadar jenayahnya, gejala sosialnya dan kemiskinan rakyatnya terus mewarnai kehidupan yang semakin menghimpit, sedangkan kekayaan dari hasil mahsul buminya pula hanyalah berlegar di kayangan orang-orang kaya yang bertawaf di sekeliling serambi kuasa kezaliman pemerintahnya.

Sampaikan khabar buat Malaysia bahawa ajal sentiasa mendekat buat kezaliman dan penentang agama Allah. Sampaikan salam pula buat Malaysia bahawa ajal kezaliman akan berganti kehidupan penuh mulia buat rakyat dan pencinta keadilan dan keharmonian

Malaysia bukanlah seiring Mesir yang begitu buruk politik pemrintahnya. Tetapi Hosni Mubarak tidaklah perlu menunggu untuk menjadi seperti Firaun untuk segara rebah dipijak rakyatnya sendiri. Kezaliman adalah hantu kehidupan. Hantu itu bukan hanya hantu raya saja, bukan pula sundal di tengah malam saja.

Malaysia hanya ada dua pilihan, samada pemerintahnya pada hari ini terus degil dengan keangkuhan menindas pembangkang dan rakyat yang menolak gaya hidup menindas dan menipu, atau pemerintahnya segera membaiki kelemahan dan kesalahan dengan politik baru yang lebih adil!