Sunday, April 29, 2012

SIKAP NEGARA ISLAM TERHADAP DEMOKRASI


Penulis rasa terpanggil untuk meneruskan semula perkongsian yang insya'Allah bermanfaat kepada para saudara/ri pembaca sekalian, Aliran sosiopolitik negara menyebabkan kita sering dibentak dengan sejuta persoalan yang kebanyakannya daripada mereka yang tidak faham dalam mana-mana isu semasa dalam mahupun luar negara. Baru semalam kita baru selesai turun berjuang dimedan dataran untuk menyatakan pendirian agar pentadbiran negara diperintah secara sistematik menurut kehendak pentadbiran negara yang BERSIH dan bebas daripada sebarang bentuk pemikiran yang jahat-jahat laknatullah.

Isu yang dibangkitkan oleh sesetengah pihak bukanlah isu yang baru, bahkan setelah hampir semua gerakan Islam didunia ini mengimplementasikan sistem demokrasi dalam negara masing-masing, isu ini semakin dibangkitkan oleh sesetengah individu yang dilihat sebagai berpendidikan tinggi dalam bidang agama dan menjadi anggota dalam berbagai-bagai jemaah Islam. Bahkan seorang individu yang berilmu pernah mengatakan bahawa demokrasi itu adalah suatu kekufuran! hujah individu tersebut berkaitan dengan demokrasi ialah: "demokrasi merupakan satu konsep pemerintahan yang berasaskan rakyat dan hukum rakyat. Sedangkan ajaran Islam telah menyatakan bahawa rakyat bukanlah penentu dan pencipta hukum" 

Pendapat seperti di atas dirasakan serupa dengan pendapat kaum khawarij pada zaman dahulu. Saidina Ali mematahkan pendapat seperti itu dengan ucapan beliau yang masyhur, "Perkataan seperti itu benar, tetapi maksud yang tersembunyi disebaliknya adalah batil"


Pada masa sekarang, telah tersebar dikalangan kaum liberalis dan pejuang kebebasan bahawa kaum Muslimin merupakan musuh demokrasi dan penyokong kediktaktoran dan penindasan. Betulkah Islam memusuhi demokrasi? Betulkah demokrasi merupakan satu kekufuran seperti yang diperkatakan oleh sebahagian kaum Muslimin? Atau adakah semua ini hanya pendapat sebahagian orang yang hanya menggunakan nama Islam, sedangkan Islam itu sendiri tidaklah demikian? 

Penulis kira perkara seperti ini memerlukan penjelasan yang tegas daripada para cedekiawan Islam dan para ulama' yang moderat. dengan bersandarkan keterangan mereka kita boleh meletakkan perkara ini sesuai dengan ukurannya dan menjauhkan Islam daripada penafsiran-penafsiran yang tidak betul, meskipun berasal daripada sebahagian ulama. Sebab para ulama' itu sendiri ialah manusia biasa yang boleh melakukan kesilapan.

keterangan dibawah ini adalah keterangan daripada seorang ulama' moderat yang Penulis kira boleh menerangkan dengan jelas mengenai persoalan-persoalan yang selama ini diluncurkan semata-mata bertujuan untuk kepentingan diri dan mahu melihat Umat Islam berpecah belah. Walhal mereka itu punya tsaqafah agama yang tinggi.

REALITI DEMOKRASI

"Di luar daripada definisi dan terminologi akademik, realiti sebenar daripada demokrasi ialah kesepakatan rakyat untuk memilih sebahagian orang yang akan memerintah dan mengatur urusan mereka. Dengan cara itu rakyat terhindar daripada memilih seorang pemimpin yang tidak mereka kehendaki atau sistem yang tidak mereka sukai. Rakyat juga berhak untuk memperhitungkan kesalahan seorang pemimpin atau memecat dan menggantikannya dengan orang lain jika ia terbukti menyelewengkan kekuasaannya.

Dengan sistem demokrasi pula diharapkan rakyat tidak terpaksa untuk mengikuti satu sistem ekonomi, sosial, budaya dan politik yang tidak mereka kehendaki. Orang-orang yang menentang keinginan rakyat layak untuk diberi peringatan dan teguran. Malah jika mereka berkeras untuk memberontak mereka patut diperangi dan dihukum.

Inilah realiti sebenar daripada sistem demokrasi yang hakiki. Manusia mengaplikasikan sistem tersebut dalam beberapa sarana praktikal pilihanraya, mengambil pendapat orang ramai, menetapkan suara majoriti, memberi peluang kepada berbagai-bagai pertubuhan politik untuk mewakili aspirasi masyarakat, memberi peluang kepada kelompok minoriti untuk mengemukakan bantahan, memberi kebebasan kepada para penulis serta menyerahkan kuasa independen kepada mahkamah.

Adakah demokrasi dalam keterangan yang kita gambarkan diatas bercanggah dengan ajaran Islam? Dimanakah letaknya percanggahan tersebut dan apakah dalil al-Quran dan al-Hadith yang mengesahkan anggapan seperti itu? 

Pada hakikatnya, mereka yang mendalami realiti sebenar daripada demokrasi nescaya akan memahami bahawa sistem demokrasi sebenarnya merupakan gambaran daripada ajaran Islam. Islam sendiri mengajarkan bahawa seseorang yang tidak disukai orang ramai tidak boleh menjadi imam dalam solat. Sabda Nabi SAW.

 "terdapat tiga jenis manusia yang tidak akan diangkat pahala solat mereka sejengkal pun daripada kepala mereka. Salah satu diantaranya ialah seorang imam yang memimpin kaumnya (dalam solat) sedangkan meraka tidak suka terhadapnya" (Riwayat Ibnu Majah)


Jika orang yang tidak disukai masyarakat yang tidak dibenarkan menjadi imam yang memimpin kaumnya dalam solat, bagaimana pula dalam urusan-urusan kehidupan dan politik? dalam hadith yang lain menyebutkan: 

"sebaik-baik pemimpin kamu ialah pemimpin yang kamu sukai dan menyukai kamu, kamu berdoa untuknya dan dia berdoa untukmu. Seburuk-buruk pemimpin kamu ialah yang kamu benci dan yang membenci kamu, kamu mengutuknya dan dia mengutukmu" (riwayat Muslim)


                                                                    -Dr. Yusuf Al- Qaradhawi.-