Tuesday, July 19, 2011

Mesir: Bagaimana Malaysia?

Salam Palestin, saat saya menggerakkan anak –anak jari untuk memulakan penulisan ini, saya tahu saya sedang berkongsi dengan seluruh dunia untuk melihat satu hukum karma yang maha pasti itu berlaku di bumi Mesir. Hukum karma pemiliknya adalah Allah. Kerana itu setiap muslim tidak betah menyebutnya, bahkan menamakannya sebagai sunnah Allah di muka bumi. Sunnah Allah bererti ketentuan dan hukum yang tetap daripada-Nya. Antara sunnah Allah yang mudah difahami dan dilihat ialah hukum penggantian atau silih berganti diantara dua yang berlawanan. Baik berganti buruk dan sebaliknya. Zalim berganti adil dan sebaliknya. Mulia berganti hina dan sebaliknya. Penggantian ini tidak berganti sendiri atau semudahnya. Ia mesti memuncak dan klimaks. Tali apabila sudah memuncak tegangannya, ia pun putus. Maka berlakulah penggantian, kental berganti kendur, gagah berganti lembik. Tiada malam yang kental kecuali kemuncaknya adalah fajar nan menyinsing. Tiada panas yang memuncakkan teriknya kecuali bumi berpusing pantas ke sebelah timur meninggalkan matahari menggelongsor ke hujung barat. Begitulah Allah memudahkan kita memahami sifir-Nya itu.

Presiden Hosni Mubarak sedang cuba berhelah dengan sunnah ini. Sunnah Allag adalah keruntuhan dan kehinaan atas setiap penzalim dan thagut di bumi-Nya. Firaun telah terhumban lemas di laut merah. Bani Israel kembali ke tangan keadilan Nabi Musa Alaihissalam. Semalam Hosni Mubarak, ketika rakyat menyerunya keluar dari Mesir di awal perhimpunan, dia melawan dan berusaha untuk tidak terbang melintasi Laut Merah ke Jeddah atau Dubai. Nah, hari ini rakyatnya meminta lebih daripada itu. Hosni Mubarak untuk diadili, bukan unutk dihalau lagi. Kini, patungnya diangkat ke Medan Tahrir ke tali gantung. Maut untuk penzalim dan thagut!

Kata seorang penyair agung Tunisia: “satu hari, apabila rakyat mahukan kehidupan (perubahan), maka pasti al-Qadar (ketentuan Tuhan) akan menjawab!” maka selepas puluhan tahun, al-Qadar menjelmakan dirinya, menyambut rakyat Tunisia yang bangkit menuntut kehidupan daripada hangus nyawa putus asa seorang anak mudanya yang dibakar kezaliman Ben Ali yang menjarah di bumi Tuhan.

Kezaliman memuncak, kesabaran juga memuncak. Ia kini di medan pertembungan. Adakah anda menyangka kesabaran hujungnya adalah kehancuran? Tidak dan tidak! Apapun kesudahan di Mesir itu, Hosni Mubarak sudah pun di gerbang neraka ciptaan rakyatnya sendiri. Oh, segala sanjungan berdekad dalam sekelip mata bertukar menjadi rentungan mendekap.

MALAYSIA APA KHABAR? Negara yang pernah bandarayanya dilimpahi puluhan ribu rakyatnya yang berbaju kuning bertulis ‘BERSIH’ menuntut keadilan di dalam perlaksanaan pilihan raya yang dipenuhi penipuan dan penyelewengan. Dan mereka bagaikan anjing kurap seringkali dihalau denhan simbahan air asid daripada melawan kezaliman dan penipuan.

MALAYSIA APA KHABAR? Negara yang tidak pernah diam dan tenang daripada pembongkaran rasuah kolar putih besar-besaran, tetapi bilislah yang ditangkap secara kecil-kecilan pula. Kemudian mereka yang bersih dan mulia dituduh pula dengan rasuah dan kejahatan.

MALAYSIA APA KHABAR? Negara yang kadar jenayahnya, gejala sosialnya dan kemiskinan rakyatnya terus mewarnai kehidupan yang semakin menghimpit, sedangkan kekayaan dari hasil mahsul buminya pula hanyalah berlegar di kayangan orang-orang kaya yang bertawaf di sekeliling serambi kuasa kezaliman pemerintahnya.

Sampaikan khabar buat Malaysia bahawa ajal sentiasa mendekat buat kezaliman dan penentang agama Allah. Sampaikan salam pula buat Malaysia bahawa ajal kezaliman akan berganti kehidupan penuh mulia buat rakyat dan pencinta keadilan dan keharmonian

Malaysia bukanlah seiring Mesir yang begitu buruk politik pemrintahnya. Tetapi Hosni Mubarak tidaklah perlu menunggu untuk menjadi seperti Firaun untuk segara rebah dipijak rakyatnya sendiri. Kezaliman adalah hantu kehidupan. Hantu itu bukan hanya hantu raya saja, bukan pula sundal di tengah malam saja.

Malaysia hanya ada dua pilihan, samada pemerintahnya pada hari ini terus degil dengan keangkuhan menindas pembangkang dan rakyat yang menolak gaya hidup menindas dan menipu, atau pemerintahnya segera membaiki kelemahan dan kesalahan dengan politik baru yang lebih adil!

Saturday, May 7, 2011


Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarokatuh..

Alhamdulillah, merafa’kan setinggi kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T kerana sehingga hari ini nikmat segala nikmat dari sekecil-kecil nikmat itu masih diberikan Allahu subhana wata’ala keatas hambaNya yang berdosa ini, Alhamdulillah nikmat kesedaran untuk terus menyebarkan syiar Islam menerusi sumber teknologi yang semakin berkembang maju ini terus dan terus dimanfaat bagi kepentingan Islam sendiri. Dan seharusnya bagi setiap individu Muslim yang berintelektual tinggi dan mempunyai pengetahuan yang luas terutama dalam bidang IT ini turut sama-sama memanfaatkannya demi untuk kepentingan Islam dan bukan untuk dijadikan bahan menghasilkan saman di akhirat kelak yakni ‘dosa’.

Selawat dan salam keatas junjungan Nabi yang mulia Akhlakya, Nabi Muhammad S.A.W yang menjadi ‘qudwah hasanah’ bagi setiap manusia diatas muka bumi Allah ini untuk ditauladani keteladananya, juga telah bermandikan darah bersimbahkan keringat untuk mempertahankan Islam, selamat sejahtera juga kepada kaum kerabat dan sahabat-sahabat baginda serta orang-orang yang sentiasa mengikut jejak langkah baginda untuk memastikan bendera kalimah ‘laa ilaha illallah’ itu terus terpacak tegak diatas muka bumi Allah ini.

Pada kali ini penulis cuba berkongsi berdasarkan yang telah dihadam penulis semasa kuliah maghrib lepas yang dihadiri penulis di surau al-firdaus taman kampung Tunku, jalan Astana. Serba sedikit input-input yang telah diberikan penceramah cuba dikongsi penulis didalam laman ini , kerana sifat ilmu Islam itu perlu dikongsi kepada muslim yang lain.

Tafsir surah an-nur:ayat 18

18. dan Allah menerangkan ayat-ayatNya kepada kamu. Dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.

19. Sesungguhnya orang-orang yang ingin agar (berita) perbuatan yang amat keji itu tersiar di kalangan orang-orang yang beriman, bagi mereka azab yang pedih di dunia dan di akhirat. Dan Allah mengetahui, sedang, kamu tidak mengetahui.

20. Dan sekiranya tidaklah karena kurnia Allah dan rahmat-Nya kepada kamu semua, dan Allah Maha Penyantun dan Maha Penyayang, (niscaya kamu akan ditimpa azab yang besar).

21. Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan. Barangsiapa yang mengikuti langkah-langkah syaitan, maka sesungguhnya syaitan itu menyuruh mengerjakan perbuatan yang

keji dan yang mungkar. Sekiranya tidaklah karena kurnia Allah dan rahmat-Nya kepada kamu sekalian, niscaya tidak seorangpun dari kamu bersih (dari perbuatan-perbuatan keji dan mungkar itu) selama-lamanya, tetapi Allah membersihkan siapa yang dikehendaki-Nya. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

Yang mana ceramah tafsir Al-Quran yang diadakan setiap hari jumaat, dan pada kali ini sudah sampai pada tafsir surah an-nur pada ayat yang ke-18. Surah an-nur terletak pada juz yang ke-18, surah yang ke-24 dalam114 buah surah dalam kitab suci Allah(Al-quran). Surat An Nuur terdiri atas 64 ayat, dan termasuk golongan surat-surat Madaniyah. Dinamai "An Nuur" yang bererti "Cahaya", diambil dari kata An Nuur yang terdapat pada ayat ke 35. Dalam ayat ini, Allah s.w.t. menjelaskan tentang Nuur Ilahi, ya'ni Al Qur'an yang mengandung petunjuk-petunjuk. Petunjuk-petunjuk Allah itu, merupakan cahaya yang terang benderang menerangi alam semesta. Surat ini sebagian besar isinya memuat petunjuk-petunjuk Allah yang berhubungan dengan soal kemasyarakatan dan rumah tangga.. Yang mana diantara kandungan didalam ayat yang ke-18 hingga ke ayat 21 ialah mengisahkan mengenai seorang munafik yang hidup pada zaman Rasulullah S.A.W iaituAbdullah Bin Ubai. Abdullah Bin Ubai merupakan seorang yang berbangsa Yahudi yang menyamar sebagai orang Islam. Dikatakan Abdullah Bin Ubai ini apabila tiba waktu solat berjemaah, kedudukan saf beliau terletak dibelakang Imam( Rasulullah saw), tapi hakikatnya beliau merupakan seorang yang munafik. Diantara agenda terbesar Abdullah Bin Ubai ini ialah berusaha untuk memburuk-burukkan keluarga Rasulullah S.A.W ketika zaman pemerintahan Rasulullah S.A.W di kota Madinah.

Orang zaman sekarang mencontohi kemunafikkan Abdullah Bin Ubai.

Tidak dinafikan bahawa kemunafikan Abdullah Bin Ubai dahulu telah diteladani oleh sebahagian umat Islam sekarang malahan lebih teruk lagi berbanding Abdullah Bin Ubai. Dahlah tak solat, pura-pura baik depan, tapi belakang sebaliknya. Malahan yang lebih teruk lagi pemimpin Islam bersekongkol dengan orang-orang yahudi untuk menjayakan program yahudi yang berbentuk ‘sekular’. Seruan penulis ini ditujukan kepada para penggerak jemaah agar lebih berhati-hati dengan golongan-golongan sebegini ya’ni golongan munafik. Jika kita melihat kepada buku yang ditulis oleh seorang tokoh iaitu Dr. Fathi Yakan. Salah satu musuh orang Islam itu ialah ‘golongan munafik’.Lazimnya diantara punca-punca keruntuhan sesebuah jemaah itu ialah terdapatnya golongan-golongan seperti ini didalam jemaah. Golongan ini masuk jemaah semata-mata untuk memecahbelah ahli jemaah agar berlaga antara satu sama lain. Tidak kurang juga penyebaran fitnah dalam organisasi supaya jemaah dipandang serong(negatif) oleh orang luar.

PUNCA AHLI KELUARGA KELUAR DARIPADA RUMAH

Disamping itu penceramah juga menghuraikan serba sedikit mengenai punca keruntuhan dalam sistem kekeluargaan. Sikap ahli keluarga yang suka melaga-lagakan ahli keluarga yang lain menyebabkan ahli keluarga yang sorang ini tidak selesa dengan keadaan dirumah lalu mengambil keputusan untuk keluar daripada rumah dan mencari tempat lain untuk mendapatkan ketenangan. Realiti seperti ini tidak dinafikan oleh penulis kejadian seperti ini pernah berlaku dikalangan orang-orang terdekat penulis.Sikap suka melaga-lagakan dalam masyarakat menyebabkan runtuhnya sistem kemasyarakatan yang bermula daripada sistem kekeluargaan yang porak-peranda. Semoga kita dijauhkan daripada benda-benda sebegini yang hanya mengundang barah kepada masyarakat kita. Sebagai seorang muslim yang sedar, kita mesti berasa bertanggungjawab untuk sama-sama membendung permasalahan didalam sistem kekeluargaan, tidak kisahlah samada dia seorang Ayah, seorang Ibu, seorang kakak, seorang Abang, mahupun seorang adik. Tetapi jika dia melihat kemungkaran yang dilakukan oleh ahli keluarga, dia wajib untuk mencegahnya dengan cara yang berhemah seperti yang dibenarkan syarak. Sebagai contoh mencegah melalui teguran yang berhemah agar yang ditegur tidak sakit hati. Dan yang ditegur pula, tidak kiralah samada dia tua ataupun muda, teguran yang diberikan mestilah diterima dengan jiwa yang lapang. Walau sepedas manapun teguran, cuba untuk bertenang walau sakit, cepat-cepat istighfar.

Semoga apa yang penulis cuba sampaikan boleh dihadam dan dapat memberi pengajaran kepada para pembaca termasuklah penulis sendiri kerana maha teliti dan maha pedih azabNya. Dan setiap perlakuan yang dilakukan akan mendatang balasan yang setimpal seperti yang dirakamkan Allah S.W.T pada ayat yang seterusnya selepas ayat ke-18 surah An-Nuur.

19. Sesungguhnya orang-orang yang ingin agar (berita) perbuatan yang amat keji itu tersiar di kalangan orang-orang yang beriman, bagi mereka azab yang pedih di dunia dan di akhirat. Dan Allah mengetahui, sedang, kamu tidak mengetahui.

20. Dan sekiranya tidaklah karena kurnia Allah dan rahmat-Nya kepada kamu semua, dan Allah Maha Penyantun dan Maha Penyayang, (niscaya kamu akan ditimpa azab yang besar).

21. Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan. Barangsiapa yang mengikuti langkah-langkah syaitan, maka sesungguhnya syaitan itu menyuruh mengerjakan perbuatan yang

Sekian,wallahu’alam.

Wednesday, May 4, 2011

ISLAM AGAMA YANG SYUMUL


“Wahai orang-orang yang beriman, masuklah Islam secara kaffah (menyeluruh) dan janganlah kamu mengikut jejak syaitan, sesungguhnya (syaitan itu) adalah
musuh yang jelas bagi kamu” [Al-Baqa
rah: 208]


Tidak dinafikan bahawa diantaranya punca manusia itu me
ndapat ujian berbentuk musibah ataupun malapetaka adalah daripada tangan-tangan kotor yang manusia lakukan. Perbuatan yang tidak diredhai Allah menyebabkan segala bentuk hidayah tidak turun kepada mereka(terhijab). Dan perbuatan yang tidak diredhai itu juga menyebabkan segala bentuk ibadah kepada Allah SWT itu tidak dilakukan secara total(menyeluruh) kerana mereka takut segala bentuk kemaksiatan tidak dapat d
ilaksanakan semata-mata untuk memperhambakan diri kepada nafsu.

"Statement" penulis diatas adalah realiti, dan realiti diatas adalah hakikat manusia zaman sekarang yang hanya mengambil sebahagian apa yang diseru dalam Islam. Tulah masalahnya,bila nak kahwin baru nak pakai Islam, bila dah n
ak 'exam' baru nak berduyun-duyun datang masjid minta tolong Allah, realiti kehidupan diatas seakan-akan bertentangan dengan apa yang Allah S.W.T suruh dalam firmanNya:

“Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah ke dalam Islam secara keseluruhan, dan janganlah kamu ikuti langkah-langkah syaitan. Sungguh ia musuh yang nyata bagi kamu

Surah Al-Baqarah: Ayat 208.

Asbabul Nuzul

Dalam ayat ini, Allah menyuruh hamba-Nya yang beriman supaya melaksanakan semua tuntutan syariat Islam dan meninggalkan semua larangannya sekuat tenaga mereka...

Penerangan Tafsir

“..dan janganlah kamu ikuti langkah-langkah syaitan”: Kerjakan semua perintah Allah dan tuntutan Rasulullah saw dan hindari bisikan akal,hawa nafsu dan syaitan. Sebab syaitan dan hawa nafsu itu berbisik pada akal kita untuk menawarkan ajaran agama dan membandingkannya dengan pendapat akal dan keinginan hawa nafsu. Sebab syaitan hanya menganjurkan segala perbuatan keji, jahat dan mungkar, serta mengada-adakan dalam agama Allah apa yang tidak kamu ketahui.

Setelah Allah menyeru orang-orang beriman supaya masuk ke dalam kedamaian dengan keseluruhan jiwa mereka, maka Al-Quran mengingatkan mereka supaya tidak mengikut langkah-langkah syaitan, kerana di sana terdaat dua haluan sahaja : sama ada masuk ke dalam kedamaian dengan keseluruhan jiwa, atau mengikut jejak syaitan, sama ada memilih hidayah atau memilih kesesatan, sama ada mengikut Islam atau mengikut jahiliah, sama ada menuju petunjuk Allah atau memilih penyesatan syaitan. Setiap Muslim harus memahami sikapnya dengan ketegasan seperti ini. Dia tidak sepatutnya termangu-mangu di tengah-tengah berbagai jalan dan hala tuju.

Jika kalian meyeleweng, tersesat, curang, sesudah tiba semua keterangan dan tuntutan padamu,maka ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah Maha Jaya, Kuat, dan berat pembalasanNya, tidak terkalahkan oleh sesiapa jua pun,juga Maha Bijaksana dalam semua ajaran tuntutanNya.

Sumber: Ibnu Katsir

Berdasarkan kepada ayat Quran di atas menunjukkan kepada kita, bahawa Islam yang perlu diperjuangkan, mestilah menyeluruh, merangkumi semua aspek kehidupan manusia. Ini kerana Islam sendiri agama yang lengkap meliputi seluruh lingkungan kehidupan manusia di dunia sehinggalah sampai ke penghidupan yang kedua di hari akhirat. Kesemuanya ini terkandung dalam gerak kerja atau amal Islam yang terbahagi pentaklifannya kepada individu, masyarakat & organisasi.

Sebagai orang Islam yang mengaku akan keesaan Allah SWT dan kebenaran pesuruhNya, maka perlu bagi seorang individu itu, menjadi muslim/muslimah yang soleh dan solehah yang menggerakkan segala kerja mereka, selari dengan perintah Allah Taala serta mengharapkan keredhaanNya. Seterusnya berdasarkan daripada pembentukan individu muslim/muslimah sejati tadi, dapat melahirkan generasi masyarakat Rabbani, yang tunduk dan patuh kpd segala ajaran Islam.

'ISLAM YANG SYUMUL' itu cukup berbeza dengan agama-agama lain, atau fikrah-fikrah lain yang yang tidak menunujukkan kesyumulanya dalam beramal didalam Islam ini kerana segala pembawaan maknanya yang merangkumi dan meliputi segala-galanya.Ia meliputi semua zaman dan merangkumi seluruh aspek kehidupan didalam kehidupan yang sementara ini.Ini bersuaian dengan apa yang dinukilkan oleh seorang 'ulama haraki yang cukup terkenal, Dr Muhammad Yusuf Qardawi didalam buku beliau, "Islam Dakwah Yang Syumul"

"Islam adalah risalah yang panjangnya meliputi semua zaman, lebarnya mengatur segenap aspek hidup manusia dan didalamnya merangkumi setiap persoalan didunia dan diakhirat."

Oleh itu, penulis ingin mengajak sahabat sahabiah sekalian untuk sama menilai diri(muhasabah),"apakah aku ini sudah melaksanakan yang Allah S.W.T telah perintahkan dalam firmanNya Baqarah:208 ini?"akal penulis yang sedang menulis ini adalah lebih dekat daripada akal yang sedang berfikir, maka penulislah yang dahulu beramal, dan sahabat sahabiah yang sedar membaca dan menilai, jom sama laksanakan perintah Allah S.W.T..!!


Monday, May 2, 2011

SALAH FAHAM TERHADAP JIHAD



Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Pada kali ini penulis akan cuba berkongsi akan satu istilah yang tidak asing lagi bagi para pencinta Agama Islam yang sentiasa inginkan Islam itu terus tertegak diatas muka bumi Allah ini. Perkataan "JIHAD" yang sering disebut-sebut oleh penceramah-penceramah di masjid,para naqib ketika usrah, ustaz-ustaz kepada pelajarnya.

Namun pada hari ini, kita dapati perkataan ini yang sering disalah fahami di dalam Islam itu sendiri ialah 'JIHAD'. Jika kita lihat perkataan ini bukan sahaja disalahfaham oleh mereka yang bukan beragama Islam, tetapi juga oleh umat Islam sendiri. Ramai yang menyangka bahawa apa-apa bentuk kekerasan yang dilakukan oleh mana-mana umat Islam,dengan apa sahaja tujuan,samada untuk mendapatkan kekuasaan, kepentingan peribadi, ataupun harta kekayaan adalah disebut sebagai 'JIHAD'. Perbuatan ini tidak boleh dikira sebagai jihad.



Jihad berasal daripada perkataan arab 'jahada' yang membawa maksud bersungguh-sungguh dan usaha. Di dalam konteks agama Islam pula ia bermaksud 'berusaha bersungguh-sungguh melawan nafsu' ataupun 'berusaha bersungguh-sungguh untuk membawa masyarakat ke arah yang lebih baik'. Ia juga bermaksud 'berjuang bersungguh-sungguh di dalam medan peperangan untuk tujuan mempertahankan diri'.

Secara umumnya, ia bermaksud bersungguh-sungguh dalam melakukan sesuatu perkara. Jika seorang pelajar yang belajar bersungguh-sungguh untuk berjaya di dalam peperiksaan, ia juga dikira sebagai sedang melakukan jihad. Kebanyakan mereka yang bukan beragama Islam menterjemahkan perkataan jihad sebagai 'holy war' ataupun 'perang suci'. Namun lebih menyedihkan lagi apabila terdapat sebahagian ulama' juga yang turut menterjemahkan perkataan tersebut kepada 'holy war'.

Jika kamu terjemah perkataan 'Holy war' kepada bahasa arab,perkataan yang sebenar bukanlah 'jihad' .Ia adalah 'harbun muqaddasah' . Perkataan 'harbun muqaddasah' tidak sekalipun muncul di dalam Al-Quran mahupun hadith Rasulullah SAW.

Perkataan 'holy war' pertama kali digunakan adalah untuk merujuk tentera perang salib. Ketika perang tersebut,mereka atas nama agama Kristian telah membunuh ribuan manusia. Mereka menamakan perang itu sebagai 'holy war'. Dan pada hari ini, mereka pula menggunakan perkataan tersebut untuk merujuk kepada umat Islam.

Ini strategi pihak media untuk mengenakan Umat Islam yang sekarang diistilahkan sebagai 'Ghazwatul Fikr' ataupun 'serangan pemikiran'. Perkataan 'fundamentalis' yang pada asalnya merujuk kepada orang Kristian, kini digunakan untuk merujuk umat Islam dan perkataan 'holy war' yang pada asalnya merujuk kepada tentera perang salib Kristian, kini digunakan merujuk untuk umat Islam.


Thursday, April 28, 2011

USTAZ ABU BAKAR AL BAQIR DALAM KENANGAN (1907-1947)



Alhamdulillah,pada kali masih lagi dikurniakan ja
ri-jari yang kuat untuk menekan 'keyboard' yang cuba untuk berkongsi dan melontarkan segala info-info yang tercetus daripada akal dan cuba untuk dikembang didalam laman ini,semoga bermanfaat.

Pada kali ini penulis akan cuba berkongsi mengenai salah seorang tokoh gerakan yang dikagumi oleh penulis,yang mana merupakan seorang aktivis dakwah dan politik di tanah melayu(Malaysia) suatu ketika dahulu.
Tokoh yang dimaksudkan ialah Ustaz Abu Bakar Al Baqir,nama sebenar beliau Abu Bakar Bin Abu Said yang lahir pada 1907 di gunung Semanggol.Beliau cukup terkenal dengan gelaran 'Al-Baqir' yang bermaksud 'amat pintar' kerana kepintaran kurniaan Allah yang diberikan kepada beliau sejak dari kecil lagi sehingga hari ini beliau dipanggil 'ustaz' Abu Bakar Al Baqir.

Beliau adalah daripada keturunan Jawa. Datuknya, Haji Abdul Jabar bin Abdul Rauf berhijrah dari Kendal, Jawa Tengah pada pertengahan abad ke-19. Pada mulanya datuknya menetap di Kelang. Kemudian berpindah ke Kuala Kurau, Perak dan akhirnya ke Gunung Semanggol..
Setiap tempat persinggahan datuk neneknya, mereka menjalankan kerja bercucuk-tanam, terutamanya bersawah padi.

Ustaz Abu Bakar Al-Baqir mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Gunung Semanggol dan pada tahun 1919 di Pondok Ar-Rahmaniah. Pada tahun 1924 di Pondok Da'irat Al-Ma'arif, Kepala Batas, Seberang Perai Utara. Ustaz Abu Bakar Al-Baqir meneruskan pelajaran agama di Pondok Idrisiah, Kuala Kangsar dan kemudian menjadi ustaz pelatih di sekolah tersebut.


Seorang Aktivis Dakwah dan Politik

Sejak muda, Ustaz Abu Bakar Al-Baqir telah bergiat cergas dalam perbagai persatuan separa-politik dan pertubuhan politik Melayu seperti:

· Persatuan Melayu Pulau Pinang

· Persatuan Melayu Perak

· Persatuan Sunligh Taiping

· Kelab Saadat Kuala Kangsar

· Kesatuan Melayu Muda (KMM)

· Angkatan Pemuda Insaf (API)

· Barisan Tani Se-Malaya (BATAS)

· Pembantu Indonesia Merdeka (PIM)

Penglibtannya dalam persatuan-persatuan inilah yang menyebabkan Ustaz Abu Bakar Al-Baqir amat rapat dengan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) dan pemimpin PKMM, Dr. Burhanuddin Al-Helmy. PKMM ditubuhkan pada 17 Oktober 1945 di lpoh, Perak

Usaha Pembaharuan
Pada akhir tahun 1920an, Ustaz Abu Bakar Al-Baqir telah membuka kelas pendidikan Islam bernama Kanzal Ma'arif. Berlainan dengan sistem menadah kitab yang diamalkan pada masa itu, kelas-kelas ini memperkenalkan sistem perbincangan dan perbahasan bahan-bahan pengajian ilmu pengetahuan.

Tujuan diadakan pendekatan seperti ini adalah untuk melahirkan ahli-ahli dakwah dan mubaligh Islam yang bertepatan dengan ajaran Al-Quran dan As-Sunnah. Kelas-kelas ini diadakan setiap malam Selasa dan Jumaat setiap minggu. Mereka yang menduduki kelas-kelas ini adalah terdiri daripada mereka yang dipilih sahaja. Usaha ini menghasilkan kejayaan yang menggalakkan.

Pada peringkat ini juga Ustaz Abu Bakar Al-Baqir telah terdedah dengan pemikiran Kaum Tua dan Kaum Muda. Disebabkan pengaruh gurunya serta pendedahan beliau di madrasah-madrasah yang digerakkan oleh gerakan Islah yang mewakili Kaum Muda, beliau lebih cenderung ke arah pendekatan pembaharuan.

Maahad Al-Ehya Al-Sharif

Pada tahun 1934, Ustaz Abu Bakar Al-Baqir bersama beberapa orang pemimpin tempatan telah menubuhkan Maahad Al-Ehya Al-Sharif di Gunung Semanggol. Nama Al-Ehya Al-Sharif memberi erti "menghidupkan kemuliaan". Dengan menghidupkan kemulian agama inilah diharapkan akan tercetusnya masyarakat yang memuliakan dunia dan Akhirat di kalangan bangsa Melayu.

Ustaz Abu Bakar Al-Baqir dilantik sebagai mudir Maahad Al-Ehya Al-Sharif. Jawatan ini dipegangnya hingga ke akhir hayatnya pada tahun 1974. Usaha pembaharuan ini diteruskan pada tahun 1940 dengan Ustaz Abu Bakar Al-Baqir menubuhkan Persatuan El-Ehya Al-Sharif (Berhad). Persatuan ini berperanan sebagai badan yang mengurus dan melaksanakan hal-ehwal sekolah. Sebuah Lembaga Pengurus yang bertindak secara kolektif telah diwujudkan.

Meluaskan Pembaharuan

Kelahiran Al-Ehya pada tahun 1934 adalah seiring dengan matangnya fahaman Islah di kalangan umat Islam di Tanah Melayu. Pergerakan Islah atau Kaum Muda yang dipopularkan pada awal abad itu telah banyak mempengaruhi pelajar-pelajar madrasah.

Kemahuan Ustaz Abu Bakar Al-Baqir untuk mendirikan Al-Ehya bertambah kuat apabila masih kurang madrasah yang menekankan pendidikan dunia dan Akhirat di Kawasan Kerian, Perak. Untuk tujuan tersebut, beliau melepaskan jawatannya di Pondok Idrisiah, Kuala Kangsar.

Ustaz Abu Bakar Al-Baqir mendirikan Al-Ehya di Gunung Semanggul kerana berpandangan tidak sesuai baginya untuk memajukan bangsa jika terikat dengan iklim istana. Lagipun, para ulamak di Idrisiah amat condong kepada kemahuan status quo golongan tradisional aristokrat diraja.

Dalam perkembangan inilah Al-Ehya menerima guru-guru dari Timur Tengah dan Indonesia yang berfahaman Islah dan Reformasi Islam sebagai tenaga pendidiknya. Guru-gurui dari Indonesia ini terdiri daripada aktivis pergerakan Muhammadiah yang terkenal sebagai Kuam Muda di Indonesia. Sejak itu, Ustaz Abu Bakar Al-Baqir juga telah menjadikan Maahad El-Ehya Al-Sharif sebagai pusat gerakan sosiopolitik, sosioekonomi dan kegiatan politik berparti berdasarkan Islam dari tahun 1934 hingga Darurat diisytiharkan pada tahun 1948.

Pembaharuan melalui Ekonomi

Pada tahun 1947, Ustaz Abu Bakar Al-Baqir mempengerusiakn satu jawatankuasa perhimpunan besar yang dinamakan Persidangan Ekonomi-Agama se Malaya. Persidangan ini diadakan di Maahad Al-Ehya Al-Sharif. Tujuan persidangan tersebut dinyatakan sebagai untuk "berusaha meluaskan penyiaran agama dan berusaha mempertinggikan ekonomi bangsa dan negara yang sudah hampir lenyap ke tangan asing".

Persidangan tersebut dihadiri oleh 2,000 orang alim ulamak dan cerdik pandai dari seluruh Tanah Melayu yang berkelulusan dari sekolah-sekolah tinggi Mesir, Arab Saudi, India dan Indonesia. Wakil-wakil dari Singapura juga turut hadir. Persidangan tersebut berjaya menubuhkan Pusat Perekonomian Melayu seMalaya atau ringkasnya PEPERMAS. Ustaz Abu Bakar Al-Baqir telah dipilih sebagai Yang Di Pertua (YDP) bagi PEPERMAS.

Sejurus penubuhannya, PEPERMAS telah menyusun kerja-kerja ekonomi, melantik badan-badan ekonomi serta menggariskan kerja-kerja derma pelajaran bagi pelajar-pelajar di madrasah-madrasah seluruh Tanah Melayu.

Pembaharuan dalam Pentadbiran Agama

Majlis Agama Tinggi atau MATA juga ditubuhkan pada tahun 1947, iaitu sehari selepas PEPERMAS. MATA juga ditubuhkan di Al-Ehya Al-Sharif, Gunung Semanggol. Ustaz Abu Bakar Al-Baqir, Ustaz Abu Bakar Al-Baqir telah dilantik sebagai penasihat kanan.

MATA ditubuhkan dengan tujuan untuk membetulkan pengurusan dan pentadbiran hal-ehwal agama Islam yang ditadbir oleh ulamak tradisional dan raja Melayu. MATA adalah satu tamparan yang hebat kepada golongan yang bekerja dalam pertubuhan ulamak negeri dan pejabat agama negeri-negeri. Ini kerana MATA bertujuan menjadi badan agung untuk mengelolakan soal agama. MATA juga secara langsung berhasrat menggantikan badan-badan agama yang telah wujud di setiap negeri.

Pembaharuan melalui Pendidikan

Pada tahun 1947 juga, sebuah badan yang dinamakan LEPIR atau Lembaga Pendidikan Rakyat telah ditubuhkan. Ustaz Abu Bakar Al-Baqir telah dipilih menjadi pengerusi LEPIR. LEPIR adalah hasil usaha daripada Jawatankuasa badan Kebajikan Pelajaran MATA yang telah mengadakan pemerhatian di seruh Tanah Melayu dan Singapura perihal kurangnya umat Melayu-Islam dalam bidang pendidikan. Melalui LEPIR, Ustaz Abu Bakar Al-Baqir telah diberi tanggungjawab untuk memajukan sekolah agama di seluruh Tanah Melayu. Melalui LEPIR juga Ustaz Abu Bakar Al-Baqir telah menggabungkan semua sekolah rakyat di Tanah Melayu, melahirkan satu sistem persekolahan serta membentuk satu sukatan pelajaran yang seragam bagi semua sekolah rakyat.

LEPIR di bawah pimpinan Ustaz Abu Bakar Al-Baqir telah mengusahakan penerbitan buku pelajaran agama dan bahasa Arab bagi seluruh Tanah Melayu. Dengan menerajui LEPIR, Ustaz Abu Bakar Al-Baqir juga telah menjuruskan usaha ke arah penubuhan sebuah universiti Islam dengan menubuhkan sebuah tabung mengumpul dana daripada rakyat.


DASAR PEMBENTUKAN PEMIMPIN


Tarbiyah kepimpinan menuntut supaya mereka yang berbakat dan cerdik di kalangan mukminin dibiasakan berfikir secara bebas, menggunakan qiyas, melakukan pengamatan, menganalisis, mengemukakan `illah (rasional). Mereka perlu dilatih menggunakan kaedah-kaedah yang menepati methodologi tertentu dan kaedah-kaedah yang logik. Kesemua ini menuntut pengembangan bakat membuat pernyataan yang teliti pada mereka, penyingkapan pertalian-pertalian serta pemahaman waqi`e. Kesemua ini merupakan asas ijtihad dan jalan-jalannya.

Namun demikian usaha membiasakan (dengan perkara-perkara diatas) dan latihan ini tidak sepatutnya dibiarkan secara berterusan, malah para pemimpin mestilah campurtangan dalam membuat keputusan yang jelas dan tegas atas sifat timbang rasa terhadap pelatih/ orang yang sedang diasuh yang sedang membangun di samping meringankan bebanan mereka, supaya dengan itu mereka tidak digugat oleh perasaan ragu-ragu di persimpangan jalan yang penting dan semasa menghadapi saat-saat genting.

Maksudnya, latihan yang kita berikan bukan berlaku dalam ruang kosong dengan menjadikannya pengantar sebelum pelaksanaan dan pengamalan yang masanya belum sampai lagi, tetapi ia merupakan latihan dalam suasana kepimpinan yang sedang bertindak dan melaksanakan amal yang berterusan, pelaksanaan berlaku serentak dan seiring dengan proses pengembangan fikrah dan strategi. Sebahagian daripada proses latihan ialah pelatih dapat melihat bagai mana kepimpinan membuat keputusan sebenar, dia tidak hanya menyaksikan contoh-contoh andaian.

Kebebasan Golongan yang sedang dilatih/ diasuh tidak patut sepenuhnya, ia bukan kebaikan untuk mereka, oleh itu batas daerah syura tidak sepatutnya terlalu meluas, kerana dalam keadaan seperti itu keputusan sukar dibuat kerana ramai bilangan mereka yang membincangkannya atau mungkin keputusan dibuat dengan berat hati (takalluf), ini akan menyebabkan berlaku keadaan menyimpang, bukan ijtihad, dengan itu kecenderungan mereka yang terlibat dalam perbincangan syura telah dipenuhi dan dipuaskan mengatasi perhitungan kebenaran.

Mungkin ada yang berkata: keadaan gentar dan gelabah yang sering dialami sesaorang (calon pemimpin) yang sedang meningkat dalam menghadapi keadaan cemas merupakan sebahagian daripada kepayahan yang dianggap fiqh dakwah sebagai titik pusat tumpuan tarbiyah kepemimpinan, oleh itu perluasan pengamalan syura diperlukan.

Jawabnya, memang benar ia sebahagian daripada latihan dan ia memang diperlukan, namun kehadiran mereka masih sebagai pemerhati dan pemantau, di mana sesaorang (calon pemimpin) yang sedang meningkat dapat melihat proses pematangan pembuatan keputusan. Dia diberi peluang untuk menguji kadar penguasaannya terhadap petunjuk-petunjuk suasana, lantas dia menyatakan pandangannya, menunjuk kepadanya dengan penuh kemampuan, tetapi dengan niat berlatih menyatakan pendapat, adapun pembuatan keputusan pada dasarnya ia hanyalah milik mereka yang sebelum ini telah lulus melalui proses ujian ini, kerana tidak semua pelatih akan lulus, tidak semua yang cerdik layak untuk berbicara, tidak semua mereka yang mengalami dwi tekanan akan sampai ke destinasi, kerana hak membuat keputusan adalah hasil kesetaraan (perimbangan) yang sukar, jarang berlaku, ia bermula dengan niat yang ikhlas dan arah tuju yang baik, akhirnya ialah penanggungan dan latihan, dan di antara permulaan dan penghujung (perjalanan) ada kecerdikan, ilmu, jiwa yang stabil, pegetahuan terhadap ufuk medan yang luas dan pengamatan mendalam ke atas sejarah yang panjang.