Monday, May 2, 2011

SALAH FAHAM TERHADAP JIHAD



Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Pada kali ini penulis akan cuba berkongsi akan satu istilah yang tidak asing lagi bagi para pencinta Agama Islam yang sentiasa inginkan Islam itu terus tertegak diatas muka bumi Allah ini. Perkataan "JIHAD" yang sering disebut-sebut oleh penceramah-penceramah di masjid,para naqib ketika usrah, ustaz-ustaz kepada pelajarnya.

Namun pada hari ini, kita dapati perkataan ini yang sering disalah fahami di dalam Islam itu sendiri ialah 'JIHAD'. Jika kita lihat perkataan ini bukan sahaja disalahfaham oleh mereka yang bukan beragama Islam, tetapi juga oleh umat Islam sendiri. Ramai yang menyangka bahawa apa-apa bentuk kekerasan yang dilakukan oleh mana-mana umat Islam,dengan apa sahaja tujuan,samada untuk mendapatkan kekuasaan, kepentingan peribadi, ataupun harta kekayaan adalah disebut sebagai 'JIHAD'. Perbuatan ini tidak boleh dikira sebagai jihad.



Jihad berasal daripada perkataan arab 'jahada' yang membawa maksud bersungguh-sungguh dan usaha. Di dalam konteks agama Islam pula ia bermaksud 'berusaha bersungguh-sungguh melawan nafsu' ataupun 'berusaha bersungguh-sungguh untuk membawa masyarakat ke arah yang lebih baik'. Ia juga bermaksud 'berjuang bersungguh-sungguh di dalam medan peperangan untuk tujuan mempertahankan diri'.

Secara umumnya, ia bermaksud bersungguh-sungguh dalam melakukan sesuatu perkara. Jika seorang pelajar yang belajar bersungguh-sungguh untuk berjaya di dalam peperiksaan, ia juga dikira sebagai sedang melakukan jihad. Kebanyakan mereka yang bukan beragama Islam menterjemahkan perkataan jihad sebagai 'holy war' ataupun 'perang suci'. Namun lebih menyedihkan lagi apabila terdapat sebahagian ulama' juga yang turut menterjemahkan perkataan tersebut kepada 'holy war'.

Jika kamu terjemah perkataan 'Holy war' kepada bahasa arab,perkataan yang sebenar bukanlah 'jihad' .Ia adalah 'harbun muqaddasah' . Perkataan 'harbun muqaddasah' tidak sekalipun muncul di dalam Al-Quran mahupun hadith Rasulullah SAW.

Perkataan 'holy war' pertama kali digunakan adalah untuk merujuk tentera perang salib. Ketika perang tersebut,mereka atas nama agama Kristian telah membunuh ribuan manusia. Mereka menamakan perang itu sebagai 'holy war'. Dan pada hari ini, mereka pula menggunakan perkataan tersebut untuk merujuk kepada umat Islam.

Ini strategi pihak media untuk mengenakan Umat Islam yang sekarang diistilahkan sebagai 'Ghazwatul Fikr' ataupun 'serangan pemikiran'. Perkataan 'fundamentalis' yang pada asalnya merujuk kepada orang Kristian, kini digunakan untuk merujuk umat Islam dan perkataan 'holy war' yang pada asalnya merujuk kepada tentera perang salib Kristian, kini digunakan merujuk untuk umat Islam.


No comments:

Post a Comment