Saturday, March 10, 2012

DALIL KHUSYUK,IKHLAS DAN HADIR HATI KETIKA SOLAT



Alhamdulillah, senantiasalah kita mengucapkan kalimat syukur kepada Allah SWT diatas segala limpah karunia-Nya yang tidak terhingga, sehinggakan palitan dosa maksiat yang telah kita lakukan ini Allah ta'ala tidak pedulikan lagi oleh kerana Maha Pengasih dan Maha Penyayangnya DIA kepada kita, semoga nikmat Iman dan Islam ini kita tidak sia-siakan walaupun sedikit. Selawat dan salam kepada junjungan yang disayangi dan dikasihi selalu, Rasulullah SAW, Nabi Allah yang hebat, Nabi Allah yang sungguh dikasihi-Nya sehinggakan mahar Nabi Adam taktala ingin menikahi Hawa, Allah ta'ala menyeru Nabi Adam berselawat kepada manusia yang namanya Muhammad. masya'Allah tabarakallah.


gambar hiasan


Taktala diri dalam kebuntuan dalam beramal dengan-Nya, didatangkan pula oleh para musuh-musuh yakni syaitan laknatullah untuk menghasut untuk tidak ikhlas dalam beramal. Terutama dalam solat yang menjadi amalan wajib setiap hari, oleh itu penulis menyeru kepada saudara/ri pembaca sekalian agar kita sama-sama senantiasa memobilisasi semula amalan kita terutama dalam solat. Perkara penting yang perlu terkehadapan dalam perkara ini adalah kekhusyukkan kita, ikhlas kita dan penghadiran hati dalam solat. Penulis menyedari bahawa untuk melakukan tiga perkara ini adalah cukup rumit taktala nafsu yang terus-terusan menghalang, syaitan yang senantiasa konsisten merosakkan amalan anak-anak adam, persekitaran kurang 'bi'ah solehah' menyebabkan amalan tertolak, seperti mana yang terdapat didalam sabda Rasulullah SAW:


 "dan tidak menyempurnakan whuduknya, tiada menegakkan khusyuknya, tiada melaksanakan rukuknya, tiada melaksanakan sujudnya dengan sempurna, keluarlah solat itu hitam gelap, seraya berkata : mudah-mudahan Allah mensia-siakan engkau, sebagaimana engkau telah mensia-siakan daku; sehingga apabila telah sampai solat itu ke tempat yang ia kehendaki, solat itu dilipat sebagai dilipat kain buruk. Kemudian kelak di hari kiamat dipukulkan solat itu di mukanya."(HR ATH THABRANI DARI ANAS IBN MALIK) (MIFTAHUL KHAHABAH : 131)




gambar hiasan

Sebagai seorang 'amilin dan pendokong dalam gerakan Islam, maka perkara ini perlu dititik beratkan untuk memastikan amal di'istiqamah'kan selama ini terus konsisten lalu menguatkan lagi semangat untuk berjihad di  jalan-Nya. Inginkan Islam bangkit semula, maka individu penegak pun perlu sentiasa menegakkan keikhlasan dan kekhusyukan dalam amalan wajib mahupun sunat.

perlu diingatkan juga kepada saudara/ri pembaca sekalian, makanan, minuman dan pakaian daripada sumbar yang haram menyebabkan kekhusyukan dan keikhlasan kita terganggu, menyebabkan sia-sia sahaja amalan yang diusahakan selama ini. Sebagai seorang kakitangan kerajaan mahupun swasta, perlu berhati-hati dengan sesetengah pihak yang pandai memanipulasi upah pekerjaan kita agar menjadi bentuk rasuah atau riba, ketahuilah dengan dosa rasuah dan riba ini amalan kepada Allah akan tergadai.


diantara dalil al-Quran dan Hadith yang penulis temui yang berkaitan dengan khusyuk, ikhlas dan hadir hati dalam solat:

Berfirman Allah swt :

“Segala mereka yang telah beriman, tenang dan tetap jiwanya dengan menyebut Allah, ketahuilah olehmu, dengan menyebut Allah(mengingat Allah), tenang segala hati.” (AR RA’DU : 28)

“Bahawasanya segala mereka yang beriman dan mengerjakan segala amal yang soleh dan berkhusyuk kepada Tuhan. Mereka itu adalah orang-orang yang mempunyai syurga; mereka kekal di dalamnya.”(HUD : 23)

“Dan segala mereka yang telah mengerjakan apa yang telah mereka kerjakan, sedang hati-hati mereka dalam ketakutan, takut akan ditolak amalannya, bahawasanya mereka akan kembali kepada Tuhan akan dihisab. Itulah mereka yang bersegera melaksanakan kebajikan-kebajikan; dan merekalah yang mendahului mengerjakannya.” (AL MUKMINUN : 60 - 61)

“Apakah belum datang masanya kepada segala mereka yang beriman kekhusyukkan jiwa-jiwa mereka untuk menyebutkan Allah dan kepada kebenaran yang telah diturunkan? Janganlah kiranya mereka berlaku seperti orang-orang yang telah diberikan kitab sebelum mereka. Maka sesudah lama masa berjalan hati mereka menjadi kesat dan kebanyakkan mereka berlaku fasik.” (AL HADID : 16)

“Peliharalah benar-benar olehmu akan segala solat dan akan solat yang paling baik, dan berdiri tegaklah kamu untuk Allah, dalam keadaan kamu tetap khusyuk kepadaNya.” (AL BAQARAH : 238)

“Segala mereka yang apabila disebut nama Allah, ketakutanlah hati-hati mereka; dan segala mereka yang sabar atas bencana-bencana yang menimpai mereka; dan segala mereka yang mendirikan solat dan membelanjakan sebahagian dari yang telah Kami rezekikan.” (AL HAJJ : 35)

“Sungguh telah memperoleh kemenangan segala orang yang mukmin, iaitu orang yang berlaku khusyuk di dalam solatnya.” (AL MUKMINUN : 2)

Bersabda Rasulullah saw :

“Bahawasanya solat itu bersikap berhajat dan bersikap rendah diri kepada Allah.” (HR AT TURMUDZY DARI AL FADHIL IBN ABBAS) (SYARAH IHYA’ 3 : 21)

“Berfirman Allah swt : Aku hanya menerima solat dari orang yang bertawaduk kepada kebesaranKu, dan tiada berlaku curang terhadap makhlukKu, dan tiada berkekalan mengerjakan kejahatan (mendurhakai akan Daku); dan menghabiskan hari dengan menyebutKu dan merahmati orang miskin, ibnus sabil dan janda, dan merahmati orang yang tertimpa bencana. Orang yang demikian itu, cahayanya semisal cahaya matahari, Aku memeliharakannya dengan kebesaranKu dan Aku perintahkan malaikatKu menjaganya. Aku jadikan baginya cahaya dalam gelap, ketenangan dalam menghadapi ketakutan. Perumpamaannya dari antara makhlukKu adalah sebagai Firdaus dalam syurga." (HADIS QUDSI) (HR AL BAZZAR DARI IBN ABBAS RA) (MIFTAHUL KHATHABAH : 133) (AT TARGHIB 1 : 314)

“Bahawasanya seseorang hamba itu sungguh mengerjakan solat, padahal tiada ditulis baginya, melainkan separuh solat, melainkan sepertiganya, melainkan seperempatnya, melainkan seperlimanya, hingga sampai sepersepuluhnya. Hanya ditulis untuk seseorang dari sahabatnya, sekadar yang dapat (yang ada ia) fahamkan daripadanya.” (HR AHMAD, ABU DAUD DARI AMMAR IBN YASSIR) (SYARAH IHYA’ 3 : 116)

“Barangsiapa mengerjakan solat di waktu-waktunya, dan menyempurnakan whuduknya, menyempurnakan berdirinya, khusyuknya, rukuknya, sujudnya, keluarlah solat (terbanglah solat)itu putih berseri-seri, seraya menyeru : mudah-mudahan Allah memelihara engkau, sebagai engkau telah memelihara daku dan barangsiapa mengerjakan solat di bukan waktunya, dan tidak menyempurnakan whuduknya, tiada menegakkan khusyuknya, tiada melaksanakan rukuknya, tiada melaksanakan sujudnya dengan sempurna, keluarlah solat itu hitam gelap, seraya berkata : mudah-mudahan Allah mensia-siakan engkau, sebagaimana engkau telah mensia-siakan daku; sehingga apabila telah sampai solat itu ke tempat yang ia kehendaki, solat itu dilipat sebagai dilipat kain buruk. Kemudian kelak di hari kiamat dipukulkan solat itu di mukanya.” (HR ATH THABRANI DARI ANAS IBN MALIK) (MIFTAHUL KHAHABAH : 131)

“Allah tidak melihat kepada solat yang pelakunya (yang bersolat) itu, tiada menghadirkan hati di dalam solatnya beserta badannya.” (LAFAZ INI DIBAWAKAN OLEH AL GHAZALI DALAM AL IHYA' 3 : 23)

Menurut riwayat Muhammad ibn Nasr dari Usman ibn Abi Dihras :

“Allah tidak menerima sesuatu amal dari seseorang hamba, sehingga hati si hamba itu hadir beserta tubuhnya.”

“Tiada diperoleh seseorang hamba dari solatnya, melainkan sekadar yang ia fahamkan daripadanya.” (SYARAH IHYA' 2 : 112)




Maka dengan dalil-dalil yang tersebut di atas ini (Al Quran dan As Sunnah), terang dan nyatalah bahawasanya khusyuk itu jiwa solat dan saripatinya. Solat yang tiada khusyuk di dalamnya, tiada harganya, ia ditamsilkan badan yang tidak berjiwa.

Sungguh tiada harga solat yang tiada khusyuk di dalamnya, kerana Allah telah mengkaitkan kemenangan orang mukmin dengan khusyuk di dalam solatnya.

Solat yang dipersembahkan kepada Allah swt jika tiada khusyuk di dalamnya, jika tiada kehadiran hati di dalamnya, sama benar dengan mempersembahkan bangkai seorang pelayan wanita, walaupun amat cantik warna kulitnya, amat bagus bentuk badannya kepada seorang raja. Persembahan itu tidak diterima raja, tidak dihargai, bahkan dimurkai dan dikutuki orang yang mempersembahkannya itu kerana dianggap memperolok-olokkan raja.



p/s: semoga kita senantiasa dan tsabat dalam memperbaiki amalan, jari yang menekan yang lebih dekat, maka tubuh jari inilah yang perlu beramal dahulu dengan peringatan ini, semoga saudara/ri pembaca jua turut menterjemahkan informasi dalam bentuk amalan.

1 comment:

  1. Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

    Jom jana pendapatan melalui perniagaan TOPUP PREPAID EASYRELOAD di TopupPrepaid2u.com. Syarikat kami menyediakan PLATFORM TERBAIK untuk anda dalam menjana pendapatan sampingan melalui jualan topup prepaid secara autoreload. Ramai pelanggan kami telah berjaya dalam perniagaan ini. Melalui TopupPrepaid2u.com, anda mampu menjana pendapatan sekitar RM800 - RM6000 sebulan!! Sudah terbukti perniagaan ini mampu MELONJAK STATUS KEWANGAN anda. Rebutlah peluang ini sekarang juga.

    Ikhlas,
    Narul Erwan Shah Hasan
    Admin,
    TopupPrepaid2u.com

    ReplyDelete