Tuesday, May 15, 2012

TAZKIYATUN NAFS: KEKALKAN HATI YANG BERSIH

\
Salam'alayk, Saudara saudari pembaca yang dikasihi kerana Allah, sewaktu lahir ke dunia, hati manusia putih BERSIH umpama kain putih yang tiada sebarang warna dan corak diatasnya. Itulah keadaan "fitrah" seperti yang disabdakan Nabi Muhammad SAW. 

Hati yang bersih itu kerana tiada sebarang "titik hitam" yang mengotorinya. Tiada calar dan kekeruhan. Tiada campur tangan luar. Keadaan itu berlangsung sehingga umur seseorang mencapai usia balighnya, usia taklif.

Seseorang insan dikira bertuah dan mendapat kejayaan yang besar apabila ia dapat menjaga dan memelihara hatinya kekal dalam "kebersihan dan kesucian" hingga ke hujung usia taklifnya.

Jumlah "insan-insan lagi terpilih" itu tentunya amat sedikit. Macam antah dalam  beras. Apa tidaknya, zaman keanakan dan keremajaannya tidak tercemar dengan tempiasan duniawi dan lumpur kemaksiatan yang sedang atau mula "mengotori" hati ramai orang. Barangkali inilah remaja-remaja yang bakal beroleh perlindungan 'Arasy ar-Rahman pada hari pembalasan yang penuh dengan kemaksiatan. Siapakah mereka?

Mereka adalah para remaja atau pemuda pemudi yang tetap iman, tetap matlamat, jelas hala tuju, punya jati diri, konsisten, istiqamah dan iltizam dalam ibadah dan ketaatan. Pendirian mereka teguh sekalipun amukan nafsu dan syaitan datang bagai angin taufan yang menggila, berselangp-seli dengan petir yang menyambar dan dentuman guruh yang gegak gempita.

Harus diingat, kekeruhan dan kecelaruan hati anak-anak yang baru menjengah ke usia baligh itu ada kaitan besar dengan cara bagaimana orientasi pendidikan yang diguna pakai dan ditarbiyyahkan oleh ibubapa terhadap anaknya itu.

Bagi ibupada yang "mutadayyin" dan Islami, yang mementingkan pendidikan Islami, akidah rabbani, akhlak dan adab sopan, usia rebung anak-anak dijaga dan dipikul dengan penuh amanah, kesedaran, keinsafan, prihatin dan tanggunngjawab. Bukankah Rasulullah pernah bersabda?: 

"anak-anak itu lahir dalam keadaan fitrah (bersih), maka kedua ibubapanyalah yang (mendidik dan membentuk) menjadi yahudi, nasrani dan majusi" (Riwayat bukhari dan Muslim)


Ibubapa yang kabur, fasiq, jahil, memuja kehidupan yahudi dan nasara, memuja hedonisme, tiada matlamat hidup, ternyata telah merosakkan "rohaniah" anak-anak anugerah Tuhan itu. Maka rosaklah serosak-rosaknya fitrah anak-anak yang bersih lagi tidak berdosa itu hasil kecelaruan minda dan rohaniah kedua-dua ibubapanya. Mereka telah mengorientasikan hati anak-anak dengan sesuatu yang tidak wajar bahkan menyimpang jauh daripada kehendak dan perintah Allah dan Rasul. 


Inilah yang dikatakan kesan pendidikan. Inilah dosa dan kezaliman besar yang dilakukan oleh kedua Ibubapa terhadap anak-anak sebagaimana yang disebutkan oleh Amirul Mukminin, Saidina Umar al-Khattab.


APABILA HATI BERSIH


Hati yang bersih ataupun yang kita namakan fitrah semula jadi manusia itu bukan sahaja diciptakan oleh Allah sangat cenderung kepada kebaikan bahkan fitrah itu juga sangat cintakan al-Haq. Camkan perkara ini!


Apabila seseorang sukakan kebaikan dan kebenaran, cintakan Allah dan Rasul, cintakan Islam dan amal Islami, cintakan ummah, cenderung kepada pahala, benci kepada dosa, rindukan syurga, gerunkan neraka, maka bersaksilah bahawa hatinya "gemilang" bercahaya. Inilah hati yang sentiasa diperjuangkan agar tetap berada dalam kondisi awalnya sewaktu lahir ke dunia. 


Inilah dia hati para Mukminin dan Mukminat. Hati orang yang sentiasa ditarbiyah dan di'tazkiyah'kan. Pastikan hati dalam rupa dan kondisi yang kekal bersinar didalam dada kita.


"Dengan hati yang hidup inilah orang yang lumpuh pun bisa menjadi mulia. Dengan kebersihan hati, insya'Allah, otak akan lebih cerdas, idea lebih bijak, gagasan lebih cemerlang," kata K.H. Abdullah Gymnastiar.


Saudara, saudari pembaca sekalian, ingat! kebenaran dan keagungan Islam sekali-kali tidak akan diperjuangkan oleh mereka yang asyik mengotori jiwanya lagi memperjuangkan kepalsuan. Kenapa? Bagaimana jiwa yang diharapkan untuk memperjuangkan kebenaran? ini suatu yang mustahil! Melainkan andainya Allah menghendaki untuk ubahnya kerana Dia lah Muqallibal Qulub itu.

1 comment:

  1. saya mohon agar, perkataan arab yang d gunakan, d letakkan d nota kaki untuk menyatakan maksud perkataan arab tu, spya sy tahu ^^, heheheh..

    ReplyDelete