Tuesday, November 29, 2011

ISLAM DAN POLITIK?

Assalamu'alaikum, Alhamdulillah, sekali lagi diberikan kudrat untuk terus menukilkan apa yang tersimpan dalam hati. Berlegar-legar sudah idea dikepala ini nak minta dimuntahkan untuk dikongsikan kepada saudara-saudara pembaca. Sebelum ini penulis pernah 'post' mengenai ulama' dan politik. Tujuan penulis perkongsikan tajuk itu adalah untuk menyedarkan dan berharap agar kepada saudara seakidah diluar sana yang masih kurang faham lagi akan perkaitanan politik dan Islam dan menyedari akan politik itu salah satu intipati yang ada dalam Islam. Penulis mendoakan semoga Allah memberikan kita hidayah dan kesungguhan untuk mencangkul ilmu-ilmu Allah yang masih terkubur didasar sana. 

Dalam kitab Ta'limul Muta'allim karya Syekh Az-Zarnuji, halaman 4, termaktub hadis Nabi itu sebagai berikut: "Rasulullah Saw. bersabda: Menuntut ilmu itu merupakan kewajiban atas setiap muslim dan muslimah




Banyak sebenarnya dalil-dalil mengenai tuntutan menuntut ilmu ini, cuma dalam menuntut ilmu itu perlunya adab yang telah disyariatkan dan yang paling penting adalah keberkatan yang ingin dicapai bagi memastikan keberlangsungan kita istiqamah dalam menuntut ilmu. Dan jangan pula dalam menuntut ilmu itu hanya mengambil sebahagian sahaja untuk diamalkan, yang lainnya dibiarkan saja. Apatah lagi ilmu yang kita tuntut itu adalah ilmu agama. Kata orang, apa yang ada dalam al-Quran itu kita amalkan kesemuanya, jika tidak mampu, buat sedikit-sedikit. Jangan terus ditinggalkan.


Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya, dan janganlah kamu turut langkah-langkah setan. Sesungguhnya setan itu musuh yang nyata bagimu.Tetapi jika kamu menyimpang (dari jalan Allah) sesudah datang kepadamu bukti-bukti kebenaran, maka ketahuilah, bahwasanya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. ( al- Baqarah : 208-209 )


Penulis bukanlah ingin mengupas lebih luas mengenai ilmu dan tuntutannya. Kadang-kadang faktor ketandusan ilmu juga menjadi penghalang untuk kita menyampaikan ilmu-ilmu-Nya. Cumanya apa yang akan cuba penulis sampaikan ingin juga berkaitan dengan perkongsian ilmu dengan saudara-saudara pembaca mengenai politik menurut pandangan Profesor Dr. Yusuf Al-Qaradhawi.

gambar: Profesor Dr. Yusuf Al-Qaradhawi


Imam Ibnu al-Qayyim ( abad kelapan Hijrah) pernah mengeluh dan merasa sedih melihat kejumudan yang melanda para ulama dan fuqaha pada zaman beliau. Ketidakmampuan mereka untuk berinteraksi dengan permasalahan semasa menjadikan para pemimpin pada zaman itu terpaksa mencari jalan penyelesaian di luar syariat Islam bagi menyelesaikan masalah politik dan kenegaraan. Natijahnya, warna Islam hanya dapat dilihat pada ibadah dan muamalah sahaja, manakala dalam masalah politik dan kenegaraan warna tersebut makin suram dan pudar.Ibnu Qayyim menghabiskan masanya dalam berjuang menentang para ulama' yang merestui penyelewengan para pemimpin berkaitan dengan polisi kenegaraan.




Wahai para pembaca yang disayangi, jika kita mengkaji kakitangan penjajah sentiasa berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk menanamkan anggapan bahawa hubungan antara Islam dan politik ataupun negara tidak pernah wujud! Pada masa yang sama, para pejuang dakwah, diantaranya yang paling menonjol ialah al-Ustaz Imam Hasan al-Banna yang mana merupakan pengasas kepada gerakan Islam, Ikhwanul Muslimin pada 1928 untuk mengembalikan Khilafah yang telah dihancurkan oleh pihak bermindakan barat berpegangan sekular yang dilaknat!



Beliau yang sentiasa mengajarkan kepada para muslimin konsep kesyumulan Islam. Beliau berusaha untuk mengembalikan kaum muslimin kepada satu ketetapan yang sudah mapan sepanjang tiga abad sebelum kedatangan para penjajah yang menyerang pemikiran mereka ataupun yang kita lebih kenali sebagai gzawatul fikr (serangan pemikiran) yang dibawa oleh barat untuk cuba menyesatkan minda Umat Islam! Para pejuang kebenaran ini berusaha menanamkan dalam diri setiap muslim bahawa petunjuk dan syariat Islam itu universal dan merangkumi seluruh dimensi kehidupan!

Kebangkitan Islam dari segi politik dan pemikiran telah mendorong kaki tangan barat beserta para hambanya untuk menahan terbitnya matahari pagi dan mengembalikan roda sejarah ke zaman penjajahan agar mereka boleh berteriak semahunya: "tidak ada politik dalam agama, dan tidak ada agama dalam politik". Saudara pembaca, bahkan para tali barut barat itu kini melancarkan serangan dengan memberikan gelaran 'Islampolitik' kepada para pejuang kebangkitan ini. Padahal sepanjang sejarah, umat Islam hanya mengenal satu Islam sahaja, iaitu Islam yang diterangkan oleh para ahli tafsir, para ahli hadith dan pakar-pakar usuluddin daripada berbagai-bagai mahzab. Mereka telah menjelaskan ajaran Islam ini dengan lebih terperinci mulai dari bab bersuci sehingga bab jihad. Inilah Islam dalam akidah, syariah, al-Quran dan as-Sunnah yang mereka mereka gelar sebagai 'Islam politik!'

Tujuan mereka ini sebenarnya ingin menambahkan atribut politik kepada nama Islam ialah agar orang ramai membenci Islam. Ramai diantara umat Islam di negara-negara Islam merasa 'alergik' dengan istilah politik, sebab politiklah punca utama daripada penderitaan dan musibah yang mereka alami. Tapi apa yang dapat kita perbuat jika Islam yang disyariatkan Allah ini sememangnya bersifat politik! Apa yang boleh kita lakukan jika Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad Saw ini sememanangnya merupakan agama yang menentang pembahagian kuasa kehidupan kepada kuasa manusia dan kuasa Tuhan? Bahkan agama ini secara tegasnya menyatakan bahawa seluruh Kaisar, Firaun dan Raja di bumi hanyalah hamba kepada Allah!

Seorang penulis penyokong barat menggesa agar kita melepaskan diri dari kitab Tuhan kita, Sunnah Nabi kita, ijma' umat kita dan petunjuk warisan pemikiran kita, untuk seterusnya menerima Islam moden bagi menyenangkan hati tuan-tuan besar di seberang lautan sana. 

Mereka juga menginginkan agar kita mengikuti Islam rohani yang berpuas hati hanya dengan membaca al-Quran disisi orang mati dan bukan kepada orang-orang yang hidup. Mereka ingin agar kita mengambil berkat dari usaha menghiasi dinding-dinding masjid dengan ayat al-Quran.



Islam sebagaimana yang terkandung dalam al-Quran dan as-Sunnah dan dikenal baik oleh umatnya dahulu dan sekarang ialah Islam yang sempurna dan tidak menerima sebarang pembahagian dalam pedoman dan ajarannya. Itulah Islam dengan dimensi rohani, pemikiran, pendidikan, jihad, sosial, ekonomi dan POLITIKnya. Islam memiliki matlamat-matlamat tersendiri pada setiap segi daripada unsur-unsur tersebut, sebagaimana Islam juga memiliki hukum-hukum dan peraturan tersendiri berkenaan dengannya!

Penulis rasa kita patut mendengar ulasan Asy-Syahid Imam Hasan Al-Banna mengenai hubungan antara Islam dan politik secara ringkasnya yang mungkin kita boleh fahami:

" Jarang sekali kita temukan orang yang berbicara mengenai politik dan Islam. kalaupun ada biasanya dia akan memisahkan di antara kedua-dua unsur tersebut. Dia akan meletakkan kedua-dua unsur tersebut dalam dua konsep yang berasingan. Dengan demikian orang ramai beranggapan bahawa kedua-duanya merupaka dua unsur yang tidak dapat dipertemukan dan disatukan. Oleh itu, ramai diantara pertubuhan Islam dinamakan sebagai pertubuhan bukan politik atau perhimpunan agama bukan politik. Bahkan saya sendiri pernah membaca dalam peraturan undang-undang pertubuhan Islam dan metodologinya. Bahawa sebarang pertubuhan Islam tidak boleh mendedahkan diri kepada masalah-masalah politik. Sebelum membahas betul atau salahnya pendapat ini, saya ingin mengalihkan pandangan kita kepada dua perkara penting berikut:

Pertama: Terdapat perbezaan yang jauh antara menjadi ahli dalam satu parti politik dengan praktik politik itu sendiri. Kedua-dua makna tersebut boleh menyatukan atau berpisah dalam diri seseorang. Seseorang mungkin sahaja bersifat politik dalam tindak-tanduk dan perbuatannya meskipun dia bukan ahli sebarang parti politik, dan seseorang yang lain pula menjadi ahli kepada satu parti politik padahal dia tidak memiliki sebarang pengetahuan tentang politik. Tetapi ada pula orang lain yang memiliki jiwa politik dan menjadi ahli kepada satu parti politik. Dalam pemahaman saya yang dimaksudkan dengan politik praktik politik secara murni, iaitu memperhatikan urusan-urusan dalaman dan luaran umat tanpa terikat dengan sebarang parti.

kedua: Semasa orang-orang di luar Islam menyedari kewujudan unsur tersebut di dalam Islam dan mengetahui bahawa ia telah tertanam di dalam jiwa dan pengikutnya yang beriman kepada risalahnya dan bersedia untuk mengorbankan harta dan nyawanya demi membelanya, mereka berusaha untuk tidak melukakan perasaan umat Islam dengan tidak merendahkan nama,bentuk dan kriteria Islam. Tetapi pada masa yang sama mereka berusaha untuk mempersempitkan kandungan makna dan wawasannya, sehingga hilanglah segala kekuatan-kekuatan praktikal di dalamnya!

Wahai saudaraku Islam, jika Islam itu tidak ada hubungan sama sekali dengan masalah politik, ekonomi, sosial, dan budaya, Maka, beritahu kepada saya apakah Islam itu?? Apakah yang dimaksudkan dengan Islam itu hanyalahy ruku' yang dilakukan dengan hati yang tidak khusyuk? atau lafaz-lafaz istigfar yang menurut Rabi'ah Adawiyah memerlukan istighfar lainnya? Wahai Saudara Se-Islamku, hanya untuk ini sahajakah al-Quran yang mengandungi sistem yang sempurna dan terperinci itu diturunkan??

" dan kami turunkan kepadamu al-Kitab (al-Quran) untuk menjelaskan segala sesuatu, (juga) sebagai petunjuk, rahmat dan khabar gembira bagi orang-orang yang berserah diri" (surah an-Nahl 16:89)

No comments:

Post a Comment